Saturday 7 April 2012

DINAR EMAS MAMPU ATASI KRISIS EKONOMI

UTUSAN MALAYSIA

KUALA LUMPUR 2 April - Penggunaan dinar emas dan dirham perak diyakini mampu menjadi penyelesaian kepada krisis ekonomi yang melanda dunia sekarang.
Ketua Jabatan Kewangan Fakulti Ekonomi dan Sains Pengurusan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof. Dr. Ahamed Kameel Mydin Meera berkata, penggunaan wang kertas sebenarnya memudahkan serta menggalakkan spekulasi dan manipulasi mata wang kerana ia tidak memiliki nilai seperti dinar emas.

"Sebenarnya penggunaan dinar emas dan dirham perak dalam perniagaan bukan sesuatu yang baru kepada dunia kerana ia digunakan sejak zaman dahulu lagi.
"Ini kerana dinar emas dan dirham perak merupakan wang sebenar yang merangkumi prinsip keadilan, ekonomi dan kestabilan serta mapan. Ia bukan sahaja baik untuk negara Islam tetapi juga kepada semua negara lain," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjadi ahli panel dalam sesi forum bertajuk 'Emas dan Perak-Mata Wang Baru Dalam Perdagangan dan Pelaburan' pada Forum Halal Sedunia (WHF) 2012 di sini hari ini.

Ahamed Kameel berkata, masalah sistem kewangan sekarang adalah jumlah wang kertas yang dicetak sebenarnya lebih banyak berbanding pertumbuhan ekonomi sebenar dunia.
"Keadaan ini menyebabkan berlaku inflasi dan krisis ekonomi yang bukan sahaja memberi kesan kepada negara, tetapi juga kepada kehidupan rakyat," ujarnya.

Sementara itu Pengasas World Islamic Mint, Prof. Dr. Umar Ibrahim Vadillo pula menegaskan, sudah sampai masanya umat Islam kembali kepada penggunaan sistem kewangan sebenar dengan menggunakan dinar emas dan dirham perak seperti yang dituntut dalam Islam.
"Saya yakin jika diberi pilihan, 99 peratus penduduk dunia akan memilih untuk menggunakan mata wang emas dan perak kerana ia lebih bernilai berbanding kertas.
"Sekiranya semua negara Islam bersatu dengan menggunakan dinar emas dan dirham perak dalam setiap urus niaga, ekonomi umat Islam akan menjadi lebih kukuh serta tidak lagi mudah dimanipulasi," katanya.

Umar turut mempersoalkan sesetengah negara Islam yang terlalu takut dengan kuasa besar seperti Amerika Syarikat dalam melaksanakan sistem kewangan berasaskan dinar emas dan dirham perak dalam urus niaga negara masing-masing.
"Sampai bila kita mahu terus ditipu oleh mereka yang sekarang membeli emas, minyak dan gas daripada negara Islam dengan hanya menggunakan kertas-kertas tidak bernilai," tegasnya.